Mereka juga mampu menggegar dunia

Buat mereka yang tidak pernah mengenali ataupun mendengar tentang Allayarham Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh, beliau merupakan bekas senator dan juga pakar dalam bidang ekonomi.

Anak kelahiran Pasir Mas Kelantan itu juga merupakan insan buta pertama di dunia yang menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dan ditempatkan namanya dalam buku Guinness Book of Records.

Ia sudah semestinya memberikan satu tamparan hebat buat kebanyakan dari kita yang memandang Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai produk tidak berguna dan menyusahkan masyarakat.

Kecacatan atau kekurangan diri mereka dianggap sebagai beban dan ramai yang berasa jijik untuk mendekati mereka. Malah, sebelum ini mereka didiskriminasi dari menerima pendidikan secara hollistik kerana dianggap sebagai membazirkan pendapatan negara. Dari sudut pekerjaan pula, mereka hanya diberi ruang untuk menjaga stor dan tandas atau dibiarkan mengemis di jalanan.

Hakikatnya, setiap orang baik yang normal mahupun OKU sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Orang yang normal juga sebenarnya mempunyai ketidak sempurnaan mereka tetapi tidak dilihat oleh orang awam berbanding golongan OKU yang mana ketidak sempurnaan mereka tampak jelas di mata masyarakat.

Namun, di sebalik ketidak sempurnaan itu, mereka juga mampu untuk memberikan sumbangan pada dunia andai diberi peluang.

Selain daripada individu yang saya perkenalkan tadi, ramai lagi golongan kelainan upaya yang berjaya di persada dunia setelah diberi ruang dan peluang untuk mengasah bakat dan mengembang kelebihan yang ada pada mereka. Antaranya termasuklah Helen Keller, Franklin Delano Roosevelt, Ludwig van Beethoven, Woodrow Wilson dan Stephen Hawking.

Dalam Islam sendiri, tidak pernah kita diajar untuk mendiskriminasi golongan ini. Sirah juga telah menunjukkan betapa Rasulullah S.A.W sendiri pernah ditegur oleh Allah S.W.T apabila mengutamakan pemimpin Quraisy yang kaya berbanding seorang lelaki buta iaitu Abdullah bin Ummi Maktum sewaktu beliau berdakwah.

Peristiwa itu dicatat di dalam surah A’basa. Kisah di sebalik penurunan ayat ini diriwayatkan di dalam hadis oleh at-Tarmidzi dan al-Hakim yang bersumber dari Aisyah dan Ibnu Ya’la yang bersumber dari Anas.

Selain itu, Allah S.W.T juga menegaskan bahawa manusia ini dicipta dalam keadaannya yang sebaik-baiknya.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya .[surah at-Tin: ayat 4]

Jika kita cuba renung ayat ini dan ambil ibrah (pengajaran) darinya, maka kita akan dapati bahawa Allah adalah sebaik-baik pencipta. Seburuk manapun seseorang manusia, mereka tetap mempunyai tanda-tanda kebesaran Allah dan mampu untuk membangun.

Oleh itu, mengapa kita harus mendiskriminasi golongan kelainan upaya ini? Sudah tiba masanya untuk kita membuang persepsi negatif terhadap mereka dan membuka ruang untuk mereka menjalani kehidupan sama seperti kita. Ayuh kita bantu mereka untuk menggegar dunia!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s